along-lah.blogspot.com

05 January 2011

Suka Duka


  Allah telah mengurniakan Nabi SAW dengan tujuh orang anak iaitu tiga lelaki dan empat perempuan. Lelakinya diberi nama: Kassim, Abdullah dan Ibrahim, manakala yang perempuan bernama: Zainab, Rukayah, Ummu Kaltsum dan Fatimah. Kesemua anak-anak ini lahir dari isteri pertama baginda iaitu Khadijah binti Khuwailid, kecuali Ibrahim lahir dari ibunya Mariyah Qibthiyah.
  Anak-anak lelaki baginda dari Khadijah telah meninggal semasa kecil lagi. Begitu juga Ibrahim meninggal dunia ketika berusia belum sampai dua tahun. Anak-anak baginda yang perempuan terus dipanjangkan umur dan dapat menyaksikan perjuangan ayahanda mereka sebagai Rasul Allah dan Ketua Negara.
  Anak-anak Rasulullah telah disebut sebagai anak-anak pilihan dari Allah yang bagus rupanya dan baik kelakuan. Walaupun anak kepada Nabi Allah manakala ibunya adalah hartawan Mekah yang terkenal, namun mereka tetap sebagai anak yang selalu merendah hati dan tidak angkuh. Mereka dididik dengan sempurna di rumah keluarga Nabi SAW iaitu tempat terpancarnya uswah, ikutan yang baik bagi orang ramai.
  Mereka semua meningkat dewasa dan akhirnya berumahtangga. Kini Nabi mempunyai cucu-cucu, ada yang meninggal sewaktu kecil dan ada yang panjang usianya.
  Di antara cucu-cucu baginda yang terkenal ialah Hassan dan Hussein dari ibunya Fatimah yang bersuamikan Ali bin Abi Thalib. Dari Fatimah juga lahir cucu-cucu perempuan iaitu Ruqayah, Zainab dan Ummu Kaltsum dan dari merekalah berkembangnya keturunan Nabi SAW.
  Cucu-cucu lain baginda yang lain ialah Umamah dari ibunya Zainab dan bapanya Abu Ash bin Rabi'. Cucunya yang bernama Abdullah telah meninggal di Habsyah semasa kecil lagi, ibubapanya ialah Ruqayah dan Utsman bin Affan.

 Berikut adalah beberapa kisah Nabi bersama-sama cucu-cucunya:
  Pada suatu hari Nabi SAW sedang bersujud dalam salatnya. Datang Hassan yang masih kecil lalu menaiki di belakangnya seolah beliau menunggangi kuda. Nabi SAW terus diam dalam berkeadaan sujud sehingga Hassan beralih dari belakangnya. Para sahabat yang melihat tertanya-tanya dalam hati betapa lemah-lembutnya baginda dengan anak kecil.

  "Lama sekali engkau sujud?" demikian tanya sahabat.
  "Cucuku ini menunggangi belakangku. Aku tidak suka cepat-cepat bangun," jawap Nabi SAW.

  Suatu ketika yang lain, baginda membawa Umamah yang masih kecil semasa melakukan salat Umamah diletakkan di bahu semasa berdiri salat dan sewaktu ruku, anak itu diletakkan ke bawah. Pada masa baginda tegak kembali. Umamah pun baginda angkat semula ke atas bahunya.
  Suatu hari baginda kembali dari pasar bersama Abu Hurairah, lalu baginda terus ke masjid. Sambil itu baginda meminta diambilkan cucunya kepada Abu Hurairah. Abu Hurairah pun segera pergi memanggilnya dan datanglah Hassan. Baginda pun segera memeluknya seraya mencium dengan penuh kasih sayang.
  Para sahabat juga mencontohi Nabi SAW dan sering memangku cucu-cucu Nabi dan begitu juga mereka berlemah lembut dengan anak-anak.
  Anak baginda Fatimah yang bersuamikan Ali bin Abi Thalib sebagai penerusnya keturunan baginda. Bagaimana kedudukan Nabi SAW., Fatimah membawa dirinya dengan penuh kesederhanaan hidup. Walaupun harta benda melimpah datang ke Madinah kerana luasnya pengaruh Islam, namun Fatimah tidak tengelam punca atau mempergunakan kedudukan ayahnya untuk mempermewahkan diri dan keluarganya. pernah beliau mengalami lapar sehingga susut wajahnya. Imran bin Hussein yang melihatnya berasa amat kasihan bagaimana anak Rasulullah mendapat derita sedemikian rupa. Malah tanggannya pecah-pecah kerana banyak menumbuk bahan makanan yang dibuat sendiri.
  Baginda Rasulullah mengetahui hal ini tetapi baginda tidak mempergunakan kedudukannya untuk melebihkan Fatimah dari orang lain. kerana tidah ada hak yang dapat diberikan maka tidak akan memberikan sesuka hatinya. Keluarga Nabi SAW tidak boleh menerima sedekah sehingga tidak juga boleh sewenang-wenang memberi dan menerima. Mereka hanya boleh menerima hadiah kerana hadiah itu datang atau diberikan kerana sangat cinta atau sayang kepada seseorang. Tetapi sedekah dan Zakat mempunyai fungsi yang berlainan, iaitu pembersihan harta seseorang dari kotoran-kotoran yang mungkin ada dari pengumpulan harta kekayaan. Keluarga Nabi SAW tidak boleh menerimanya.
  Maka bagi menghadapi kelaparan dan kesengsaraan, baginda telah memberikan doa kepada Fatimah agar dibacanya apabila mengalami keadaan demikian itu. Sebagai sorang puteri Rasul, Fatimah tidak sunyi dari derita dan sengsara dalam kehidupannya . kerana itu beliau telah mendapat julukan sebagai pemuka wanita Muslimah, wanita ahli Syurga.

No comments:

Post a Comment